Saturday, January 24, 2009

EMPAT PERKARA

Seorang sahabat pernah mengatakan bahawa terdapat empat perkara yang disembunyikan oleh Allah dalam empat perkara. Bunyinya nampak pelik, dan mungkin tidak pernah terfikir oleh kita sebagai hamba-Nya. Dan tidak kurang juga mungkin ada yang sudah mengetahuinya. Namun tidak salah sekiranya saya ingin kongsikan bersama agar terisi nikmat yang sering melalaikan kita iaitu nikmat kelapangan.
Pertama sekali, Allah s.w.t menyembunyikan KEREDHAAN-NYA DALAM SETIAP AMALAN, jadi sebagai hamba-Nya, kita tidak seharusnya bersikap atau mengecilkan sesuatu amalan itu. Kerana boleh jadi amalan yang kita pandang sebagai remeh itu, merupakan amalan yang diredhai oleh Allah. Dan sebagai hambanya, dalam setiap urusan dunia mahupun agama yang dicari adalah redha-Nya bukan nya redha manusia. Jika seluruh manusia merestui tetapi Allah tidak meredhainya, maka tiada ertinya perkara tersebut kepada bekalan kita untuk akhirat kelak.
Yang kedua, Allah s.w.t menyembunyikan KEMURKAAN-NYA DALAM SETIAP MAKSIAT YANG DILAKUKAN. Dalam kehidupan kita, seboleh-bolehnya tanamkan dalam diri kita untuk mengelakkan diri dari terjerumus dalam maksiat. Kerana dikhuatiri maksiat yang kita lakukan itu dimurkai oleh Allah, walaupun bagi kita ianya kecil. Dan sentiasa berhati-hatilah dalam setiap urusan kita, serta kuatkan taqwa kepada Allah semoga kita dipelihara-Nya. Adakah kita sebagai hamba-Nya, ingin mencari kemurkaan-Nya?
Yang ketiga, Allah s.w.t menyembunyikan WAKTU MUSTAJAB UNTUK DIMAKBULKAN DOA. Sebagai manusia yang sentiasa pelbagai dugaan, keluh kesah, kita sememangnya tidak dapat lari daripada memohon pertolongan dari Yang Maha Esa. Namun janganlah sesekali berputus asa akan pertolongan Allah, sebaliknya tingkatkan amalan, cegah kemungkaran, serta sentiasalah mengingati-Nya dan mohon pertolongan serta doa kepada-Nya dalam setiap waktu. Semoga doa dan harapan kita itu dimakbulkan-Nya. Dan cepat atau lambat pertolongan Allah itu, bukannya urusan kita, yang penting hendaklah sentiasa yakin akan pertolongan-Nya.
Akhir sekali, Allah swt menyembunyikan WALI-NYA DALAM KALANGAN UMAT MANUSIA. Kenapa agaknya?. Mungkin Allah ingin mengajar hambanya agar sentiasa saling hormat-menghormati dalam kalangan manusia. Janganlah kita menyombongkan diri, dan menyangka diri kita ini sempurna ataupun terbaik kerana boleh jadi, ada lagi yang lebih baik daripada kita. Saling hormat-menghormati dapat membina ikatan ukhuwah yang teguh, seterusnya menyatukan kembali umat islam di bawah satu kalimah “La Ilaha Illallah”.
Sekian
p/s Sebarang cadangan ataupun komen adalah dialu-alukan: Ibnufauzi

0 comments: