Sunday, March 29, 2009

CERAMAH BERSAMA DR.DANIAL ZAINAL ABIDIN

Pada hari Sabtu 28 Mac 2009, alhamdulillah saya diberi keizinan oleh-Nya, untuk mengikuti satu ceramah yang bertajuk Sains Membenarkan Islam atau Islam Membenarkan Sains?. Ceramah ini disampaikan oleh Dr.Danial Zainal Abidin.
Tajuk ceramah ini merupakan satu persoalan yang menarik untuk kita fikirkan bersama. Sains merupakan satu cabang ilmu yang dilihat sangat penting dalam era kemajuan sekarang. Sesebuah negara atau bangsa yang menguasai ilmu ini dilihat akan maju dari yang lain. Agama Islam sememangnya menekankan kepentingan menguasai ilmu dikalangan umatnya. Ini dapat dilihat melalui penurunan wahyu yang pertama keatas Rasulullah s.a.w, yang mana bermaksud “Bacalah”. Ini menunjukkan betapa pentingnya penguasaan ilmu dalam agama Islam. Umat Islam juga turut dikurniakan satu mukjizat yang besar iaitu Al-Quran sebagai petunjuk dan penawar bagi manusia. Jadi tidak hairanlah orang bukan Islam juga tertarik dengan Al-Quran.
Namun begitu, menurut Dr.Danial, umat Islam sekarang kebanyakkannya hanya mengaji Al-Quran tetapi tidak mengkajinya. Lidah mengatakan bahawa Al-Quran itu merupakan mukjizat besar tetapi sikap tidak menggambarkannya. Menurutnya lagi 3 urutan penting yang harus dijadikan panduan oleh seseorang iaitu, ilmu seterusnya iman dan seterusnya amal. Sebagai contoh, seseorang itu haruslah mengenal Allah terlebih dahulu sebelum mengimaninya dan seterusnya beramal. Sebagaimana dakwah Rasulullah s.a.w yang menekankan akidah terlebih dahulu sebelum ke perkara lain.
Namun begitu, bagaimana kita hendak memacu ilmu ini?. Jawapan yang diberikan cukup mudah iaitu takwa. Takwa boleh memacu kearah ilmu. Tetapi takwa itu bukannya mudah untuk dilakukan dan juga tidak mustahil untuk dilakukan. Pengertian takwa berdasarkan ceramah Dr.Danial, ialah terkandung 3 perkara iaitu, taat jangan maksiat, ingat jangan lupa, dan syukur jangan kufur.
Seterusnya, dalam ceramah tersebut, dipaparkan pelbagai ayat Al-Quran yang bercirikan saintifik yang mana telah dikaji dan hanya boleh dibuktikan pada zaman sekarang. Jadi perkara ini telah menarik minat pengkaji terhadap Islam dan seterusnya ramai dikalangan mereka memeluk Islam. Sebagai contoh teori Big Bang yang mana hanya ditemui sekarang, tetapi ianya telah terdapat didalam Surah Al-Anbiyak ayat ke 30. Serta banyak lagi contoh-contoh yang lain.
Jadi sebagai kesimpulannya, Sains itu sebenarnya hanya merupakan alat untuk membenarkan sesetengah ayat Al-Quran. Sekiranya alat itu bercanggah dengan Al-Quran, maka ia haruslah dibuang.

0 comments: