Sunday, March 8, 2009

SALAM MAULIDUR RASUL

Rasulullah SAW dilahirkan di tengah-tengah keluarga Bani Hasyim di Makkah pada pagi Isnin, 9 haribulan Rabi’ul-Awwal. Pada tahun ini jugalah peristiwa tentara bergajah dan empat puluh tahun seltelah kekuasaan Kisra Anusyirwan atau tepat dengan 20 atau 22 haribulan April 571 Masihi.(Ar-Rahiqul Makhtum 87).
Pelbagai program atau acara diadakan semperna untuk memperingati ulang tahun kelahiran Baginda SAW dan secara tidak langsung untuk memberi peringatan dan penghayatan kepada umat islam tentang perjuangan Rasulullah bagi menegakkan dan menyebarkan Islam. Semua ini adalah sebagai tanda kasih umat Islam terhadap pemimpin agung yang menjadi manusia istimewa pilihan Allah.
Kelahiran Nabi Muhammad SAW sebagai pemimpin agung adalah rahmat bagi sekalian alam. Kelahiran Rasulullah SAW kemuka bumi ini telah mengubah kehidupan umat manusia di dunia daripada masyarakat yang dulunya kufur (jahiliyyah) bertukar menjadi taat dan mentauhidkan Allah. Jelaslah kelahiran Baginda SAW benar-benar membawa perubahan besar dalam pelbagai aspek kehidupan manusia. Itulah rahmat dan nikmat daripada Allah mengutus junjungan besar Nabi Muhammad SAW ke muka bumi ini. Sebagaimana firman Allah yang bermaksud:

"Dan tiada Kami mengutus engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi seluruh alam." (Surah al-Anbiya', ayat 107)

Perjuangan Rasulullah SAW dalam menyebarkan Islam penuh dengan pelbagai dugaan dan cabaran yang berat, seperti ancaman bunuh, kesengsaraan, penderitaan dan penindasan yang dilakukan oleh musuh-musuh Islam. Namun keteguhan dan kesabaran baginda SAW dalam melaksanakan perintah dan tanggungjawab yang diberikan oleh Allah SWT telah menyebabkan agama Islam tertegak dan terus berkembang hingga ke hari ini. Sesungguhnya tidak dapat digambarkan dengan kata-kata pengorbanan yang dilakukan oleh Rasulullah dalam menegakkan Islam di bumi ini. Oleh itu sirah Baginda SAW ini perlu dijadikan sebagai pedoman bagi umat Islam dalam menjalani kehidupan di dunia yang sementara ini.
Rasulullah SAW juga seharusnya dijadikan sebagai idola bagi setiap umat Islam kerana keistimewaannya serta budi pekertinya yang elok. Peribadi baginda benar-benar luhur, manakala jiwa dan hatinya pula suci bersih. Dengan memiliki keperibadian unggul Baginda berjaya melaksanakan segala tugas dan tanggungjawab diamanahkan Allah kepadanya. Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud:

"Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah selalu (dalam masa susah dan senang)." (Surah al-Ahzab, ayat 21)

Kehidupan Nabi Muhammad SAW mengandungi pengajaran dan contoh teladan yang baik. Jika diikuti, maka kehidupan manusia seluruhnya akan mendapat kebahagiaan di dunia dan akhirat. Banyak contoh ditunjukkan Rasulullah SAW dalam mentaati dan beriman kepada Allah merangkumi seluruh aspek kehidupan manusia seperti ibadah, muamalat, politik, hubungan kemasyarakatan dan akhlak. Baginda juga pemimpin agama, negara, suami, bapa, pendidik, pendakwah dan pejuang.
Selain itu kejayaan Baginda dalam menyebarkan Islam ini juga telah berjaya melahirkan insan yang bertakwa kepada Allah dan terus menyambung perjuangannya dalam menegakkan dan menyebarkan Islam hingga ke hari ini, seperti Saidina Abu Bakar, Umar Al-Khattab dan lain-lain.
Sebenarnya, Rasulullah SAW itu seharusnya diingati oleh umat Islam itu setiap waktu bukannya hanya pada bulan kelahiran Baginda. Banyakkan selawat ke atas Baginda SAW, kuatkanlah iman agar kita dapat menjadi umat Islam yang sejati.

0 comments: