Friday, February 13, 2009

PESONA CINTA

Perasaan cinta itu lahir dari perasaan, dan perasaan itu pula adalah fitrah yang dikurniakan Allah kepada hamba-Nya, walaupun kita boleh menolak cinta pada waktu ini, tetapi tidak mustahil jika kelak kita pula akan mengejarnya. Namun begitu, dalam kita mengejar ataupun mencari cinta ini janganlah pula kita lalai dan leka terhadap cinta yang lebih utama iaitu cinta seorang hamba dengan pencipta-Nya. Sebagai mana firman Allah s.w.t yang bermaksud:
“Dijadikan indah pada pandangan manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, iaitu wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dan jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternakan dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup didunia dan di sisi Allah lah tempat kembali yang baik(syurga).” (surah Ali ’Imran(3):14)
Berdasarkan ayat di atas, gambaran cinta manusia adalah sekitar hal-hal yang disebutkan dalam ayat tersebut. Tetapi di akhir ayat tersebut, Allah telah menegaskan bahawa apa yang berada disisi-Nya adalah jauh lebih baik dan lebih utama iaitu nikmat syurga. Sesiapa yang mencintai benda tersebut hingga diperhambakan oleh cintanya itu, maka ia tidak akan mendapat kurniaan dari Allah kelak. Barangsiapa yang mencintai Allah, ia adalah ibadah dan rasa cinta itu apabila digabungkan dengan perasaan rendah diri seorang hamba, maka ibadah akan menjadi semakin sempurna.
Sambutan Hari Kekasih yang diamalkan oleh orang-orang Kristian untuk meraikan hari kasih sayang demi mengingati hari kematian paderi mereka semasa di zaman pemerintahan Rom. Didalam Islam sebenarnya tidak ada istilah Hari Kekasih, walaupun Islam itu amat menggalakkan umatnya untuk mengasihi sesama saudara, namun ianya perlu untuk mengikuti batas-batas yang telah ditetapkan oleh syarak. Sebagaimana firman Allah yang bermaksud
“Wahai manusia, sesungguhnya Kami telah menciptakan kalian dari seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kalian berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kalian saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kalian disisi Allah ialah orang yang paling bertakwa.”(surah Al-Hujurat(49):13)
Takwa ini boleh disimpulkan sebagai perasaan yang sentiasa berhati-hati dalam melakukan sesuatu perkara kerana takut terlanggar batas yang ditetapkan oleh Allah, ataupun mendatangkan kemurkaan-Nya. Begitu juga dalam mencari ataupun menjalinkan cinta ini, haruslah ada sikap berhati-hati akan tidak melanggar peraturan Allah. Pesan seorang sahabat r.a “sesungguhnya Allah itu menyembunyikan kemurkaan-Nya dalam setiap maksiat yang dilakukan”.
Bagi manusia, menyatakan cinta itu adalah cukup mudah, namun untuk mengakuinya cukup payah. Menyatakan cinta kepada Allah adalah perkara yang cukup mudah, namun tidak ramai yang sanggup ataupun benar-benar mengakuinya. Para pencinta kepada Allah, adalah orang yang selalu menanamkan takwa dalam hatinya. Abu Hasan an-Nadwi dalam bukunya Masanid al-Iman menuturkan: Pandangan tanpa iman, laksana bola mata yang buta, dan umat tanpa iman, laksana kambing, kibas yang tersesat tak tentu arah tujuan..
Kasih sesama makhluk pada sifatnya adalah tidak kekal, ia bergantung kepada keadaan, cinta kepada harta dan pangkat, kelak harta dan pangkat tersebut akan meninggalkan kita semasa kita menemui-Nya.
“Katakanlah: Jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatirkan kerugiaannya, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya dan dari berjihad dijalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya.” (Surah At-Taubah(9):24)

0 comments: